Ahad, 8 Mac 2009

Pemuda Tidak Dikenali

Di dalam hati aku menanyakan diri. Mengapa aku bermain bola sepak selepas sekolah tadi? Aku sepatutnya mengulangkaji pelajaran di rumah. Cuaca pun begitu terik sekali. Aku berasa amat letih selepas 2 jam bermain bola sepak di padang sekolah. Suatu perbuatan yang tidak harus dibuatku. Sekarang, seragam sekolahku basah kuyup dengan peluh. Walaupun aku sudah hampiri pintu keluar sekolah, aku berpatah balik untuk ke tandas.
Dengan perlahan, aku memaksa kakiku yang penat untuk bergerak ke arah tandas. Aku berlalu bersebelahan dengan makmal sains sekolah. Aku ternampak sesuatu lembaga di dalam makmal sains. Aku memerhatikannya. Sibuk dia mencampurkan beberapa botol kimia didalam suatu bekas. Tiba-tiba, lelaki yang tidak pernahku lihat menoleh ke arahku. Aku terkejut. Mukanya mempunyai satu parut yang hodoh sekali. Dia menjegilku. Aku mula berasa tidak selesa dan terus menuju ke tandas.
Sambil mengesat peluhku dengan tisu aku terfikir tentang lelaki itu. Adakah dia penolong makmal yang baru? Mengapa dia mempunyai wajah yang sebegitu? Banyak soalan yang ada di fikiranku. Aku mengambil beberapa minit untuk berdiri di hadapan kipas angin tandas untuk memastikan aku sudah kering daripada peluh. Apabila aku sudah berpuas hati, aku turut keluar untuk pulang.
Ternampak lagi aku si pemuda yang berparut itu. Dia seakan-akan tergesa-gesa keluar daripada makmal sains. Amat aneh gara-garanya. Aku sengaja batuk supaya kedatanganku diketahuinya. Dia memandang belakang. Matanya terbeliak seperti terkejut melihat kehadiranku. Raut wajahnya amat pucat sekali. Aku hanya berdiri tegak dan memerhatikannya sahaja. Pemuda itu membuka langkah yang lebih besar berbandingkan tadi. Seperti sedang berlari-lari anak. Gerak-gerinya amat pelik sekali.
Pemuda itu bergegas ke arah pintu keluar sekolah. Aku tidak mempedulikannya sangat dan meneruskan perjalananku. Aku berjalan di koridor yang berada di hadapan makmal sains. Aku terhidu bau yang amat tidak menyenangkan. Tiba-tiba, sebuah letupan berlaku. Impak letupan itu membuatku termelayang beberapa meter ke suatu tampalan rumput. Tanganku berlumuran dengan darah kerana serpihan kaca tercacak di tanganku. Bahagian kiriku lebih teruk cedera dibandingkan dengan bahagian kananku. Ini kerana letupan itu berlaku dari arah kiri.
Tingkap makmal sains hancur akibat letupan itu. Makmal sains itu pula terbakar. Asap hitam yang tebal membuatku batuk. Banyak lagi letupan yang kecil berlaku kerana asid yang mudah terbakar meletup kerana api yang sedang merebak. Aku cuba melarikan diri daripada tempat kejadian itu. Aku berjalan dengan tempang dari tempat itu. Tiba-tiba, aku terdengar suara meminta tolong daripada dalam makmal sains yang terbakar itu.
Ada seseorang dalam makmal itu? Aku terfikir. Patutkah aku masuk dan cuba menolong? Aku sendiri sudah cedera teruk. Mampukah aku menolongnya? Aku patut mencari seseorang untuk menolong. Malangnya jam sudah pukul 5.45. Pasti kebanyakan orang sudah pulang. Aku membuat keputusan untuk menolongnya. Dengan kaki kiriku yang tercedera, aku masuk ke dalam makmal sains. Asap yang meliputi makmal itu membuat mataku berair. Sukar sekali untuk aku melihat. Ia pun membuat tekakku kering. Nafasku menjadi sesak. Aku cuba mengikut suara meminta tolong itu.
Rupanya, orang yang meminta tolong it adalah Cikgu Salim, guru pelajaran kimia. Dia terbaring di atas lantai. Tubuhnya berlumuran darah. Aku cuba merangkak ke arahnya kerana memang mustahil untuk bernafas ketika berdiri akibat asap. Aku cuba mengheret Cikgu Salim keluar. Aku hanya boleh menggunakan tangan kananku sahaja. Dengan sedaya upaya aku menariknya ke arah pintu keluar makmal itu. Dengan menggunakan kesemua tenagaku, aku mengahampiri pintu keluar. Tiba-tiba, sebuah asid meletup di atas meja. Malangnya, aku di bawah meja itu. Badanku melecur kerana terkena asid panas. Aku menjerit kesakitan. Sakit itu teramat sehingga aku pitam.
Aku tersadar dan mendapati bahawa aku di hospital. Ibubapaku yang sentiasa mengiriniku berasa lega sekali. Sudah dua hari rupanya aku tidak menyedarkan diri. Aku menanyakan apa yang telah berlaku. Mereka memberitahuku bahawa seorang pemuda yang mempunyai parut di mukanya yang tolong mengheretkan aku dan Cikgu Salim keluar. Walaubagaimanapun, dia menghilangkan diri setelah aku dan Cikgu Salim telah diheretkan ke tempat yang selamat. Aku terpinga-pinga. Mengapakah dia bergegas keluar dan bertindak seperti dia telah melakukan suatu jenayah? Aku menanya ibuku apakah yang menyebabkan kebakaran itu. Dia tidak tahu jawapannya. Aku masih tidak berpuas hati. Siapakah pemuda berparut itu?

Tiada ulasan: